Tuesday 19 April 2011

SEJARAH SKLB

Sejarah Sekolah

         Sekolah Kebangsaan Liang Batu telah mula ditubuhkan pada 1 Januari 1948 dengan bertiangkan kayu , beratapkan rumbia dan berlantaikan simen serta berdinding kayu. Penubuhannya telah diusahakan oleh Tn Hj  Ibrahim b Hj Abd Hamid , Penghulu Renchong setelah sebahagian penduduk Kg Liang Batu menghulurkan bantuan dengan membeli tanah dan diwakafkan untuk tapak pembinaannya dihadapan masjid lama Kg. Liang Batu. Sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Melayu Renchong. Pada tahun 1950 bangunan sekolah ini dibesarkan dengan bantuan kerajaan dan namanya ditukar kepada Sekolah Umum Liang Batu.
          Pada tahun 1951 telah berlaku banjir besar dan menghanyutkan bangunan sekolah ini hingga ke Selat Melaka. Selepas kejadian itu para pelajar Sekolah Umum Liang Batu menumpang belajar di Masjid Kg. Liang Batu . Pada tahun 1952 bangunan sekolah ini dibina semula di tapak yang sama dikendalikan secara terus oleh Tuan Hj Hassan b Hj Ibrahim , Penghulu Mukim Lenga. Pada tahun 1960 bangunan sekolah yang sedia ada diperbesarkan bagi menampung tuntutan pembangunan semasa dari segi jumlah murid.
            Pada tahun 1969, atas usaha  Tn Hj Md Taff b Yakim , Tn Hj Hasbullah b Hj Idris dan Tn Hj Salim b Simat telah berusaha menemui Yang Berhormat Tn Hj Hassan b Yunus, Wakil Rakyat ketika itu untuk menyegerakan pembinaannya. Akhirnya terbinalah sebuah bangunan baru yang dibiayai oleh Jabatan Pelajaran Muar yang kini dinamakan Blok A yang menelan belanja RM 25,000.00. Seterusnya nama sekolah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Liang Batu dan bangunan  itu kekal sehingga ke hari ini.
            Bangunan yang kedua dibina ada tahun 1978 adalah bangunan Blok C atas sumbangan wakil rakyat dan pembinaan bangunan itu dibawah  En Jimat b Maarof , Guru Besar ketika itu.Kos pembinaan bangunan tersebut adalah sebanyak RM 4000.00. Bangunan Blok B pula dibina setelah usaha Tn Hj Marhamin b Atmo, Guru Besar ketika itu memohon peruntukan pembinaan bangunan daripada Jabatan Pelajaran Muar dan bangunan tersebut telah menelan belanja RM 50,000.00.
            Seterusnya bangunan kantin pula dibina pada tahun 1985 dengan menelan belanja RM 35,000.00 yang dikeluarkan oleh pihak wakil rakyat kawasan Jorak ketika itu Dato’ Rahman Mahmud. Kerja pembinaan bangunan kantin ini diselia oleh Tn Hj Tahir  Mohd Taat, guru sekolah ini yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Serampang mulai 1999 hingga kini.
            ‘The Power of Nature’ sesungguhnya menjadi ungkapan bagi insan barat bagi menunjukkan bahawa kuasa alam sebenarnya sangat berkuasa. Tetapi bagi kita insan  yang berpegang teguh kepada ajaran islam mengakui bahawa kuasa dan keagungan tuhan sememangngnya tiada tolok bandingnya.
            Justeru mulai 19 Disember 2006 Allah telah menurunkan ujian yang maha hebat dengan ujian banjir setelah lebih 20 tahun tidak mengalaminya di kampong ini.
            Kekuatan dan keimanan yang kuat mampu untuk menangani dan menghadapi ujian sebesar itu dan pada 31 Disember 2006 banjir mula surut dan bermulalah kerja pembersihan di kampong ini termasuk di SK Liang Batu.
          Menurut sejarah yang diceritakan oleh orang tua-tua di kampong ini,  bah besar telah  melanda kampong ini pada  tahun 1951, 1971, 1984 dan 2006 . Mereka menyatakan bahawa bah tahun 2006 adalah yang terburuk dalam sejarahnya dan yang pasti mengundang kemusnahan yang besar.
            SK Liang Batu juga telah menerima bah ini dan kemusnahan yang berlaku tak tergambar dengan lukisan, tak tertulis dek tulisan. Begitulah gambaran yang dapat kami berikan. Namun di sebalik ujian Allah itu terdapat seribu rahmat yang kita tidak dapat fikirkan kerana ianya sudah tertulis dan semuanya adalah ketentuan Allah SWT.
            Gema takbir Aidil adha yang jatuh pada 31 Disember 2006 dirasakan amat sayu sekali tatkala orang lain berhari raya kami bergelumang lumpur membersihkan kawasan sekolah. Menitik air mata keinsafan dan kesayuan dengan kuasa Allah yang Maha Agong .
            Dengan staf seramai 12 orang dan bantuan kemanusiaan dari pihak ATM, Siswa Siswi  Universiti Darul Iman seramai 80 orang , Siswa Siswi  Universiti Sains Islam Malaysia seramai 240 orang serta AJK PIBG SK Liang Batu berusaha untuk mempastikan pada 3 Januari 2007 pelajar dapat memulakan persekolahan hari pertama mereka. Sesungguhnya setiap yang berlaku adalah ketentuan-Nya dan janji Allah. Barang siapa yang bersyukur dengan nikmatNya maka akan ditambahkan lagi rezeki untuk mereka.
            Kepada mereka yang membantu sama ada dari badan GO dan NGO, terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan.Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian.

1 comment: